CATATAN IMAM HASSAN AL BANNA 7
(Bertareqat)
Minat Saya Di Dalam Tariqat Sufi Hasafiyah
Saya telah lihat ahli-ahli Tariqat Hasafiyah di dalam sebuah masjid kecil.
Setiap hari selepas solah Isya’, mereka terus berzikir kepada Allah. Saya selalu
menghadiri kuliah-kuliah Syeikh Muhammad Zahran antara solah Maghrib dan Isya’.
Halaqah zikir yang diadakan itu disertai pula dengan nasyid yang merdu, menarik
minat saya. lanya dihadiri oleh ulamak-ulamak dan pemuda-pemuda yang soleh.
Mereka juga memberi layanan yang baik kepada kanak-kanak di situ untuk menyertai
dalam halaqah zikir itu.
Lama-kelamaan hubungan saya dengan ‘Ikhwan Al-Hasafiyah’ semakin erat.
Di antara orang-orang yang paling kuat mempengaruhi saya ialah Syeikh Syalbi Ar-
Rijal, Syeikh Muhammad Abu Syousyah dan Syeikh Syed Uthman. Begitu juga
dengan pendakwah-pendakwah muda seperti Muhammad Afandi Dimyatee, Sowi
Afandi as-Sowi, Abdul Mut’al Afandi Sankal dan yang lain-lain lagi adalah hampir
sebaya umur mereka dengan saya. Di sinilah saya bertemu dengan Ustaz Ahmad Sakri
buat pertama kali, Beliau adalah wakil Ikhwanul Muslimun waktu itu. Pertemuan
tersebut meninggalkan kesan yang hebat kepada kehidupan kami.
Sejak itu, nama Syeikh Hasafi terus mempengaruhi saya dan saya berasa sangat gembira bila mendengar nama itu. Saya pun semakin kempunan hendak bertemu Syiekh itu dan
mendapat faedah dari kuliah yang diberinya. Saya mula mengamal ‘Wazifah ar-
Ruzooqiyyah’ di waktu subuh dan petang. Saya mula berminat dengan wazifah ini
apabila bapa saya memberitahu bahawa kalimah di dalam wazifah tersebut diambil
dari hadith-hadith sahih. Risalah ini dinamakan risalah (menerangkan hati untuk
menjadi suci dengan zikir Ruzooqiyyah). Wazifah ini tidak melebihi dari ayat-ayat al-
Quran dan hadith-hadith. Walaupun begitu tidak kedapatan padanya perkataan
perkataan yang ganjil, fahaman-fahaman dan ibadat-ibadat yang bertentangan dengan
Islam.
Ketika ini saya berjumpa dengan sebuah kitab bertajuk 'Almanhal as-Safi fi
Manaqib Hasnain al-Hasafi’. Hasnain al-Hasafi adalah pengasas dan pemimpin
pertama Tariqat Hasafiyah (Ikhwan Al-Hasafi). Kini pemimpin Tariqat tersebut ialah
Syeikh Abdul Wahab Hasafi, iaitu anak Syeikh Hasnain al-Hasafi. Semoga Allah
merahmati Syeikh Abdul Wahab dan memberi kejayaan kepada segala usahanya.
Saya tidak sempat menemui Syeikh Hasnain Al-Hasafi kerana dia telah meninggal
dunia pada hari Khamis, 17 Jamadil Akhir, 1328 Hijrah. Saya berumur 4 tahun ketika
itu. Walaupun dia kerap melawat negeri saya, tetapi saya tidak berpeluang
menemuinya.
Melalui kitab tersebut, saya mendapat tahu bahawa Syeikh Hasnain adalah
seorang ulamak Universiti al-Azhar yang alim. Beliau pakar dalam Ilmu Fiqh Mazhab
Syafi’e dan Ulumud Din. Dia juga seorang ulamak yang luas pembacaannya. Beliau
bersolat tepat pada waktunya dan banyak masanya habis dalam berzikir kepada Allah.
Dia adalah seorang yang wara’ dan bertakwa. Dia juga menunaikan umrah dan Haji
banyak kali. Para sahabatnya tidak dapat mencari orang lain yang lebih bertakwa yang
mematuhi ajaran Allah, menunaikan segala perkara perkara yang wajib serta sentiasa
memelihara perkara-perkara sunat.
Syeikh Hasnain Al-Hasafi tidak lalai dari mematuhi dan melaksanakan
perkara-perkara tersebut sehinggalah ke akhir hayatnya. Beliau berumur 60 tahun
tetapi umurnya yang tua itu tidak menyekat dia dari menjalankan dakwah Islamiah.
Dia menentang amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam dan menggalakkan
amalan-amalan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Beliau selalu menentang
bida’ah-bida'ah yang menyusup masuk ke dalam amalan-amalan Tariqat Sufi.
Dia menyeru manusia kepada perbuatan maaruf dan melarang manusia dari melakukan
perbuatan yang haram. Beliau membawa perubahan yang hebat kepada
masyarakatnya dengan membanteras banyak amalan-amalan yang bertentangan
dengan Islam. Pemikiran dan amalannya mengagumkan saya. Dalam usaha
menegakkan yang maaruf dan mencegah yang mungkar, beliau tidak takut kepada
sesiapa pun. Ada banyak peristiwa yang menggambarkan keberaniannya.
Pernah Syeikh Hasnain pergi menemui Perdana Menteri Mesir, Riyadh Basya.
Pada waktu yang sama seorang ulama lain telah datang menemui Riyadh Basya.
Ulama tersebut telah tunduk memberi hormat kepada Riyadh Basya. Syeikh Hanain
naik radang dan terus menampar ulamak tadi sambil berkata, ‘Berdiri tegaklah
engkau! Tidak dibenarkan ruku’ dalam Islam melainkan di hadapan Allah S.W.T.
Janganlah engkau mencemar Islam dan ilmu yang ada padamu, nanti kelak Allah akan
mencemarmu.’ Perdana Menteri Riyadh Basya dan ulamak tadi pun terpegun. Tidak
seorang pun yang berani mengambil tindakan terhadap Syeikh Hasnain.
Apabila Syeikh Hasnain duduk, seorang pembesar pun tiba. Beliau adalah
sahabat Riyadh Basya. Salah satu jarinya tersarung sebentuk cincin emas dan di
samping itu dia juga membawa sebatang tongkat yang berkepala emas. Syeikh
Hasnain pun menasihatinya, ‘Saudara ku! Kaum wanita diharuskan memakai
perhiasan emas dan kaum lelaki diharamkan memakai emas. Lebih baik kau serahkan
barang-barang emas yang ada padamu itu kepada kaum wanita di dalam keluargamu.
Jauhkan dirimu dari bertindak bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Sebelum
pembesar tadi membangkang, Riyadh Basya masuk campur dan memperkenalkan
mereka berdua. Namun begitu, Syeikh Hasnain masih bertegas supaya cincin emas
dan emas di hujung tongkat ditanggalkan agar amalan yang bertentangan dengan
Islam dapat dihentikan.
Satu hari Raja Mesir, iaitu Taufiq Pasya, telah menghadiri satu perhimpunan
khas para ulamak. Syeikh Hasnain juga turut hadir di majlis itu. Apabila Syeikh
Hasnain bertemu Taufiq Pasya, dia pun mengucap ‘Assalaamu’alaikum’ dengan
kuatnya. Taufiq Pasya hanya membalas salam itu dengan mengangkat tangan saja.
Tanpa rasa gentar, Syeikh Hasnain pun dengan lantang berkata, ‘Jawablah salam
dengan cara yang sama atau dengan cara yang lebih baik lagi. Menurut Islam, tidak
harus menjawab salam dengan tangan. Jawapan salam perlulah diberi dengan
sepenuhnya iaitu ‘Wa a’laikumus-Salaam wa rahmatullahi wa barakatuh’. Taufiq
Pasya berterima kasih pada Syeikh Hasnain kerana pendiriannya dan pegangannya
dalam hal agama.
Satu hari Syeikh Hasnain pergi berjumpa salah seorang muridnya di Jabatan
Ukur. Beliau lihat ada patung kecil di atas meja dalam pejabat muridnya itu. Syeikh
Hasnain bertanya, ‘Apakah benda ini?’ Muridnya menjawab, ‘Patung ini perlu untuk
kerja-kerja kami’. Syeikh itu menjawab, ‘Benda ini dilarang (diharamkan) Allah.’
Beliau pun mematahkan leher patung tersebut dengan tangannya sendiri. Di waktu itu,
seorang Inspektor bangsa Inggeris masuk ke dalam pejabat itu. Dia bertanyakan
Syeikh Hasnain mengenai perkara patung tadi. Dengan sopan santun, Syeikh itu
menerangkan bahawa Islam datang untuk menegakkan Tauhid (Keesaan Allah) di atas
muka bumi dan juga untuk menghapuskan berbagai bentuk penyembahan berhala.
Islam telah mengharamkan patung agar ia tidak menjadi sumber penyembahan.
Penerangan dasar-dasar Islam yang diberi oleh Syeikh Hasnain begitu elok sehingga
dapat menyakinkan Inspektor tadi. Dia sangat tertarik dengan hujah-hujah Syeikh
Hasnain sebab selama ini dia sangka penyembahan berhala wujud di dalam Islam. Dia
menerima kebenaran Islam dan memuji Syeikh Hasnain.
Satu hari Syeikh Hasnain dan murid muridnya menziarahi Masjid Saidina
Hussain (r.a.). Dia berdiri di hadapan kubur dan mengucapkan kalimah berikut:
Maksudnya: “Sejahtera ke atas mu ahli kubur yang Mu’min.”
Sementara itu seorang dari muridnya memohon, ‘Tuan! Beritahu Saidina
Hussain agar dia memberkati aku.’
Syeikh Hasnain Al-Hasafi memandangnya dengan penuh marah dan berkata, “Semoga Allah memberkati kita dan dia (yakni Saidina Hussain). Kemudian dia, meminta semua murid-muridnya berhimpun di situ kerana dia hendak memberi syarahan. Dalam perhimpunan tersebut beliau menghurai secara terperinci adab dan peraturan menziarahi kubur. Beliau juga menjelaskan perbezaan antara bidaah dan syara’ dalam persoalan menziarahi kubur.
Bapa saya pernah menceritakan bahawa dia, Syeikh Hasnain dan para anggota
Tariqat Hasafiah yang lain telah berkumpul di rumah Hasan bin Abu Syed Hasnain.
Seorang pelayan wanita yang masih muda masuk ke dalam majlis untuk
menghidangkan kopi. Kepala dan tangannya terdedah. Syeikh Hasnain memandang
wanita tadi dengan marahnya dan dia menyuruh wanita itu keluar. Syeikh Hasnain
juga enggan minum kopi yang dihidangkan. Beliau telah berjumpa dengan tuan rumah
itu dan memberinya satu pengajaran mengenai kewajipan terhadap gadis-gadis
walaupun mereka merupakan pelayan, tidak seharusnya dipamerkan kepada lelaki
ajnabi.
Inilah di antara nilai-nilai akhlak Syeikh Hasnain Al-Hasafi yang banyak
mempengaruhi saya. Para anggota Tariqat Hasafiah selalu memuji ajaran Syeikh
Hasnain, tetapi saya lebih tertarik dengan ajaran-ajaran yang diamalkannya. Saya
yakin Allah telah memberinya kuasa istimewa untuk menyebarkan Islam. Beliau telah
berusaha mencegah kemungkaran dan menegakkan kebenaran dengan tabahnya. Saya
mula mengenal Syeikh Hasnain Al-Hasafi ketika saya berumur 12 tahun. Pengenalan
saya dengan Syeikh itu kian teguh lantaran satu peristiwa aneh. Saya telah membaca
buku beliau berulang kali.
Satu hari saya telah bermimpi. Dalam mimpi itu, saya sedang berada di sebuah tanah perkuburan. Saya lihat salah satu kubur bergegar dan
bergerak. Gegaran berterusan untuk tempoh waktu yang lama. Akhirnya kubur tadi
pecah. Api memancut keluar darinya dan menjulang ke langit. Api itu bertukar
membentuk satu lembaga manusia lelaki. Lembaga itu adalah satu lembaga panjang
yang menggerunkan. Orang ramai berkumpul di sekelilingnya. Gergasi itu berteriak
sambil berkata kepada orang ramai yang berkumpul di sekelilingnya, ‘Wahai
manusia! Perkara perkara yang diharamkan Allah kepada kamu kini telah dihalalkan.
Sekarang kamu buatlah apa yang kamu suka.’ Saya pun muncul dari khalayak ramai
dan berkata, ‘Kau pendusta.’ Orang ramai pun berpaling melihat saya dan saya
memberitahu mereka, ‘Wahai manusia yang dikasihi! Dia adalah syaitan yang
dilaknat. Dia telah datang untuk menyesat dan menghasutkan kamu. Jangan dengar
kata katanya! Jika tidak, kamu akan sesat.’ Gergasi tadi naik marah dan berkata,
‘Sekarang kita akan berlumba lari di hadapan orang ramai. Jika kau menang, kau
dianggap benar. Jika aku menang, akulah yang benar.’ Saya menerima cabarannya itu.
Saya pun berlari sepantas yang saya mampu. Malangnya kaki saya tidak dapat
bersaing dengan kaki gergasi yang besar itu. Belum sempat gergasi tersebut
menangkap saya, Syeikh Hasnain Al-Hasafi muncul dan memeluk saya. Beliau
memegang saya dengan tangan kirinya sambil tangan kanannya diangkat dan
dihalakan kepada gergasi yang sedang pantas bergerak itu. Beliau berteriak dengan
kuat, ‘Nyahlah engkau wahai syAltan yang terkutuk!’ Gergasi tadi cabut lari dan
menyembunyikan dirinya. Syeikh Hasnain pun turut lesap.
Saya pergi bertemu orang ramai tadi dan berkata, ‘Awak semua telah saksikan
sendiri usaha syaitan hendak menyesatkan awak dari jalan kebenaran yang
ditunjukkan Allah.’ Selepas itu saya pun terkejut jaga. Semenjak hari itu, saya pun
begitu kempunan hendak bertemu Syed Abdul Wahab Al-Hasafi, iaitu putera Syeikh
Hasnain Al-Hasafi kerana hendak belajar dasar dasar Akhlak Islam darinya tetapi dia
tidak muncul.
Berhubung dengan peristiwa di perkuburan itu, saya teringat kepada saudara
seagama saya, iaitu Syeikh Muhammad Abu Syousya, seorang saudagar di
Mahmoodiyah. Saya terhutang budi kepadanya kerana dia banyak memberi
bimbingan rohani kepada saya. Dia mengumpul lapan hingga sepuluh orang budak
lelaki termasuk saya dan membawa kami ke tanah perkuburan. Kami menziarahi
kubur sambil berzikrullah di masjid Syeikh Najeeli. Syeikh Muhammad Abu Syousya
menceritakan kisah kisah para wali dan orang-orang soleh kepada kami dengan cara
yang begitu menarik sehingga air mata kami mengalir. Kemudian dia menunjuk
kepada kami kubur-kubur yang terbuka dan mengingatkan kami bahawa satu hari
nanti kami juga akan berada di tempat yang gelap dan mengerikan itu (yakni kubur).
Syeikh Muhammad Abu Syousya menangis teresak-esak dan kami juga turut
menangis. Kami semua pun bertaubat dan memohon keampunan Allah atas segala
kesalahan yang kami lakukan. Kadangkala dia mengikat benang di pergelangan
tangan kami Sebagai lambang peringatan taubat yang telah kami lakukan. Beliau
menerangkan bahawa jika fikiran kami diselubungi kejahatan atau syaitan cuba
menghasut kami, maka hendaklah kami menyentuh benang tersebut sambil
mengingati janji yang telah kami buat untuk mematuhi Allah serta menjauhi
perbuatan mungkar. Kami mendapat banyak faedah dari nasihat serta tunjuk ajar
beliau yang baik dan berguna itu. Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas beliau.
Hati saya sentiasa teringat Syeikh Hasan sehinggalah saya memasuki Maktab
Perguruan Damanhur. Makam Syeikh Hasan berada di Damanhur. Masjid beliau yang
belum siap itu juga berada di Damanhur. Ketika itu hanya asas masjid saja yang siap.
Masjid itu dapat disiapkan kemudiannya. Saya menziarahi makam Syeikh Hasan
setiap hari. Saya bergaul rapat dengan para anggota Tariqat Hasafiyah. Setiap malam
saya menghadiri syarahan-syarahan yang diberi di Masjid At-Taubah.
Saya bertanya berkenaan ketua Tariqat Hasafiyah di situ dan mendapat tahu namanya ialah Syeikh Basiyooni Alatt. Beliau adalah seorang peniaga yang bertaqwa dan wara’. Saya memohon kepada beliau supaya memperkenaikan saya dengan Syeikh Syed Abdul
Wahab Al-Hasafi. Syeikh Basiyooni pun berjanji hendak memperkenalkan saya
dengan Syeikh tersebut apabila dia melawat Damanhur. Sebelum ini saya belum
pernah menyatakan bai’ah (sumpah setia) dengan sesiapa pun. Menurut para anggota
Tariqat Hasafiyah, saya masih di peringkat ‘Muhib’ (orang yang kasih kepada orang
orang wara’ dan soleh) dan bukannya murid (pengikut).
Satu hari Syed Abdul Wahab melawat Damanhur. Para anggota Tariqat
Hasafiyah menyampaikan berita kedatangannya itu kepada saya. Alangkah
gembiranya saya. Saya pergi bertemu Syeikh Basiyooni dan meminta beliau
membawa saya kepada Syeikh Abdul Wahab Al-Hasafi pada hari Ahad, 4 haribulan
Ramadhan, 1341 Hijrah, lepas solat Asar. Saya pun menyatakan bai’ah saya dengan
meletakkan tangan saya di atas tangan Syeikh Syed Muhammad Abdul Wahab.
Dengan demikian, rasmilah saya sebagai salah seorang anggota Tariqat Hasafiyah.
Syed Muhammad Abdul Wahab membenarkan saya menggunakan segala kemudahan
kemudahan yang dikhaskan kepada para anggota Tariqat Hasafiyah.
Semoga Allah merahmati Syeikh Syed Muhammad Abdul Wahab. Saya
beruntung banyak dapat bergaul dengannya. Setiap usaha beliau adalah kebaikan
semata. Beliau adalah seorang yang wara’ dan berakhlak mulia. Beliau tidak mengejar
pangkat dan kekayaan orang lain. Setiap masalah dihadapinya dengan penuh
bijaksana.
Hayatnya habis dalam mengajar orang dan beribadat kepada Allah. Beliau
memimpin para anggota Tariqat Hasafiyah dengan penuh kebaikan dan kejayaan.
Di antara ajarannya yang menarik ialah Syeikh Syed Abdul Wahab tidak
membenarkan para anggota Tariqatnya yang terpelajar berbincang masalah-masalah
khilaf dan meragukan dan menyebut-nyebut percakapan orang-orang Mulhid dan
Zindiq di hadapan para anggota Tariqat biasa.
Katanya kepada mereka,‘Berbincanglah perkara perkara itu di dalam perjumpaan perjumpaan khas awak. Ketika berdakwah kepada orang awam, hendaklah menyentuh perkara-perkara yang mudah dan berkesan yang dapat mengarahkan mereka kepada taat kepada Allah.
Jika perkara-perkara yang rumit tadi dibincangkan, mungkin mereka tidak memahami
kamu dan hal ini boleh membuat mereka ragu terhadap agama mereka sendiri.
Lantaran itu awaklah yang menjadi punca salah faham mereka terhadap Islam.’ Saya
masih ingat kata katanya kepada saya dan Ahmad Sakri. Saya lihat tanda-tanda yang
menunjukkan bahawa Allah akan membuka hati orang ramai kepada kamu. Ramai
dari mereka yang akan menyertai gerakan kamu.
Fahamilah bahawa Allah akan menyoal kamu mengenai orang-orang yang mendatangi kamu sama ada kamu telah menggunakan masa mereka dengan baik atau tidak. Jika masa mereka digunakan dengan baik, maka Allah akan memberi ganjaran baik kepada mereka dan kamu.
Andainya masa mereka tidak digunakan dengan baik, maka kamu akan dihukum.
Dengan cara inilah Syeikh tersebut mendorong kami menjalankan kewajipan kami
kepada Allah. Kami dapati peribadi beliau dipenuhi kebaikan.
Pada waktu itu, kami berpakat hendak menubuhkan satu pertubuhan di
Mahmoodiyah. Pertubuhan itu digelar ‘Persatuan Kebajikan Hasafiah’. Seorang
peniaga/saudagar Mahmoodiyah terkenal yang bernama Ahmad Afandi as-Sakri telah
dilantik Sebagai yang Di Pertua dan saya pula dilantik Sebagai Setiausaha. Kegiatan
persatuan tertumpu kepada dua bidang yang penting. Bidang pertama menyebarkan
dakwah untuk pembinaan akhlak orang ramai dan membanteras kemungkaran di
kalangan masyarakat. Bidang kedua melibatkan usaha menentang kegiatan risalah
Kristian. Para anggota ini yang paling gigih terdiri dari tiga orang wanita. Mereka
berusaha menyebar agama Kristian dengan bertopengkan kursus jahitan serta tekat
menekat dan juga dengan memberi perlindungan kepada anak-anak yatim dan rawatan
perubatan.
Persatuan Kebajikan Hasafiyah ‘menghadapi gerakan Kristian’ ini habishabisan.
Usaha ini mendapat penghargaan dari orang ramai. Kemudiannya, usaha ini
diteruskan oleh Ikhwanul Muslimin.
Hubungan kami dengan Syed Abdul Wahab Al-Hasafi tetap baik sehinggalah
tertubuh dan berkembangnya gerakan Ikhwanul Muslimin di seluruh negara Mesir.
Selepas itu, pendapat beliau dan pendapat kami mengenai Ikhwanul Muslimin
berubah. Namun begitu, kami masih menyimpan rasa terhutang budi dan rasa hormat
kepadanya. Beliau adalah seorang ahli ibadat yang baik dan wara’.
Ulasan
1) Imam Hasan al Banna mempunyai asas tasawuf bertareqat. Amalan tasawuf bertareqat banyak mempengaruhi spiritual dan tindakan beliau.
2) Walaupun bertareqat, bukan semua ajaran tareqat diterapkan dalam Ikhwanul Muslimin. Beliau pandai menapis amalan yang bertentangan dengan al Quran dan sunnah.
3) Kini krisis iman dan akidah lebih utama daripada meningkat keupayaan dalaman diri dengan bertareqat. Walau bagaimanapun, ajaran tasawuf perlu ada bagi mengatasi kebejatan yang melanda umat.
Rasulullah Melayani Tetamu
1 week ago



Post a Comment